Site icon Audio+

Jejak Usahawan Buletin FM bersama Datuk Seri Johari Ghani

Inspirasi dan ilmu yang dikongsikan dalam Siri Khas Jejak Usahawan Buletin FM bersama Datuk Seri Johari Ghani

Datuk Seri Johari Abdul Ghani anak jati Kuala Lumpur, dilahir dan dibesarkan di Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Tun Hussein Onn sebelum meneruskan pelajaran menengah di Sekolah Kebangsaan Aminuddin Baki, Kuala Lumpur.

Datuk Seri Johari adalah akauntan bertauliah dan Felow Chartered Association of Certified Accountants United Kingdom. Sebelum itu beliau melanjutkan pengajian tinggi di Institut Teknologi MARA (ITM), Shah Alam, dan memperoleh Diploma Perakaunan pada 1985.

Datuk Seri Johari memulakan kerjaya di syarikat perakaunan antarabangsa Peat Marwick & Co (sekarang dikenali KPMG). Selama lebih 28 tahun Datuk Seri Johari bergiat dalam dunia keusahawanan dan korporat, beliau menjawat pelbagai jawatan kanan dalam syarikat awam dan persendirian serta mencipta nama sebagai antara usahawan dan ahli perniagaan yang berjaya di Malaysia.

Datuk Seri Johari juga lebih dikenali di kalangan ahli perniagaan sebagai strategis pemulih korporat berikutan kejayaan memulihkan beberapa syarikat berprofil tinggi yang sebelumnya mencatatkan kerugian. Antara kejayaan paling besar ialah memajukan QSR Brands Berhad, KFC Holdings Berhad, dan Ayamas Food Berhad yang mempunyai jenama KFC, Pizza Hut dan Ayamas. Beliau melupuskan pegangannya dalam syarikat-syarikat berkenaan pada 2005 dengan keuntungan berlipat ganda.

Beliau kemudian mengambil alih Pemanis Sdn Bhd (pembotol eksklusif produk PepsiCo) dan menerajuinya sebagai Pengarah Urusan Kumpulan antara 2005 hingga 2011. Sebanyak14 jenama produk PepsiCo diuruskan beliau diantaranya seperti Pepsi, Mirinda, 7up, Gatorade, Twister dan Revive. Penjualan francais Pepsi yang dibelinya pada harga RM72 juta pada harga RM820 juta kepada Asahi, Jepun, pada tahun 2011 melonjakkan nama beliau di dalam dunia korporat. Penjualan Permanis juga meraih anugerah transaksi terbaik pada 2011.

Datuk Seri Johari ketika ini adalah Pengerusi dan pemegang saham C.I Holdings Berhad (C.I Holdings) dan KUB Malaysia Berhad (KUB Malaysia). Disamping itu beliau juga pemegang saham utama dalam Central Cables Berhad dan Media Prima Berhad.

Pada tahun 2020, KUB Malaysia dan C.I Holdings meraih anugerah daripada Minority Shareholder Watchdog Group (MWSG) di bawah Anugerah Tadbir Urus Korporat ASEAN 2019 (CG 2019).
KUB Malaysia meraih tempat pertama kategori Excellence Award For CG Disclosure (Nilai Pasaran antara RM100 juta dan RM300 juta), manakala C.I Holdings meraih anugerah kategori Excellence Award For Long Term Value Creation. Anugerah-anugerah ini membuktikan kepimpinan beliau dalam urus tadbir korporat serta mewujudkan nilai dalam perniagaan yang diterajuinya.

Syarikat pelaburan persendirian miliknya, JAG Capital Holdings Sdn Bhd pula melabur dalam pelbagai industri pemula, modal teroka dan ekuiti persendirian. Datuk Seri Johari juga melabur dalam usahawan berpotensi dengan inovasi bernilai komersial kerana beliau berkeyakinan dalam individu berpotensi, idea baru dan teknologi masa hadapan.

Datuk Seri Johari sebelum ini pernah dilantik sebagai ahli lembaga pengarah pelbagai syarikat dan agensi berkaitan kerajaan dan termasuk Pengerusi Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad, dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pelaburan Bumiputera yang menguruskan semua dana di bawah Permodalan Nasional Berhad (PNB) & Amanah Saham Berhad (ASB). Beliau juga pernah dilantik menganggotai Majlis Ekonomi Negara dan Majlis Produktiviti Kebangsaan dan Eksport Negara.

Selain bidang korporat Datuk Seri Johari adalah Pengasas dan Pengerusi Yayasan Bena Nusa, organisasi yang diwujudkan khas bagi mengurangkan jurang kemiskinan di bandar dan meningkatkan pendidikan anak-anak keluarga miskin di bandar.

Datuk Seri Johari dilantik sebagai Menteri Kewangan Kedua antara Jun 2016 hingga
Mei 2018 selain menjadi Ahli Parlimen Titiwangsa antara 2013 hingga to 2018. 

Exit mobile version